
KEBELAKANGAN ini, DM melihat begitu banyak sekali pertandingan memancing diadakan disana sini baik di kolam pancing, pantai, tasik mahupun di persekitaran laut kita.
Mengikut kalendar pertandingan, mulai awal Disember hingga akhir Mac tahun depan, sekurang-kurangnya terdapat satu-dua pertandingan memancing pasti bergegar pada setiap minggu.
Sesungguhnya usaha murni yang dianjurkan ini adalah sesuatu cukup memberangsangkan biarpun keadaan cuaca di kawasan Asia Tenggara (South East Asia) tidak menentu lantaran laut yang bergelora.
Bagi kaki pancing yang tidak padam nawaitu untuk bergiat aktif pastinya sanggup menempuh segala onak ini semata-mata mahu melepaskan 'gian' dan tidak kurang juga menyimpan impian menggungguli kejuaraan selepas bersusah payah melakukan persiapan lebih awal.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan DM ialah kaki pancing terutama mereka yang bergelar 'otai' tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan mereka yang barangkali baru menceburi bidang ini selain terus-menerus menyemarakkan suasana pertandingan dimana sahaja ia diadakan.
Buat penganjur pertandingan, DM memuji langkah yang diambil setidak-tidaknya memberi ruang kepada kaki pancing untuk beriadah bersama keluarga sambil berpeluang 'mencipta' kemenangan dalam sesuatu pertandingan. Cuma, ingin ditegaskan disini penganjur pertandingan harus mengambil sikap 'profesionalisme' dalam mematuhi etika peraturan memancing yang ditetapkan. Beberapa peristiwa tidak enak termasuk berkaitan agihan hadiah, keputusan, penggunaan umpan dan bermacam-macam lagi sering merencat serta menyelubungi kesan negatif terhadap sesuatu pertandingan.
Selamat bertanding semua!